Sunday, March 20, 2011

Detik-Detik Hidup Sebelum Di Dada Akhbar

Detik-Detik Hidup Sebelum Di Dada Akhbar


Bahang terasa. Terik dan memeritkan. Angin tenggara berpuput kencang, berlegar-legar atas puing-puing keruntuhan. Suasana kesyahduan menyelubungi bumi barakah itu.

Tiada bangunan tersergam indah, melainkan sisa runtuhan di atas tanah. Dari Rafah ke Bait Hanun, hanya kelongsong peluru Zionis menghiasi bumi yang dahulunya subur dengan tanaman.

Dari pesisir Laut Mediterranean di Elai Sinai, ke Erez kemudian terus ke Kem Khan Younis, tiada seinci pun tanah yang merdeka dari darah bangsa Palestin.

"Murid-murid, Sebutkan angka ini."

"Satu, dua, tiga..." Terdengar sayup-sayup suara anak-anak kecil berselang-seli dengan suara seorang guru yang sedang mengajar. Lima belas minit kemudian, terdengar suara anak-anak tersebut bersorak-sorai sambil berkata,

"Syukran Jazeelan, Ya Ustazah!"

Haseena, seorang guru yang ditugaskan untuk mengajar di Kem Khan Younis keluar dari sebuah khemah. Di khemah itulah, setiap hari dia akan mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik kepada anak-anak pelarian Palestin seawal tujuh hingga dua belas tahun.

Dia tidak kekok dengan kehidupan di kem tersebut kerana dia juga membesar di situ. Kehidupannya mungkin sedikit beruntung berbanding pelarian-pelarian lain kerana berkesempatan untuk menyambung pengajian di menara gading.

Haseena berjalan-jalan seketika bagi menghilangkan penat. Dia kemudiannya melabuhkan punggungnya dan melihat anak-anak muridnya bermain-main keriangan. Mereka begitu asyik bermain-main dengan anak-anak batu. Di sebalik tiang runtuhan sebuah rumah, Haseena melihat seorang anak muridnya begitu asyik melakar sesuatu di atas tanah.

Dia bertinggung sambil melakar sesuatu, memadamnya dengan tapak tangan, lalu kembali mencipta lakaran denga jarinya. Ahmed, nama anak kecil itu. Raut wajahnya yang comel kelihatan berkerut-kerut sambil jari-jemarinya menunjal tanah yang berpasir. Haseena bingkas bangun dari tempat duduknya menuju ke arah Ahmed.

Angin kecil bertiup lembut, membawa bauan yang pelbagai. Hamis, busuk, tengik, hanyir, hapak. Semuanya bersatu dibawa oleh bayu Mediterranean melalui celahan ranting Mulberi yang botak, lalu menyelinap ke Kem Khan Younis. Aroma dingin Laut Arab masih tidak mampu membawa rasa segar walaupun secebis ke Kem Khan Younis.

Sejak mula mengajar di situ, Haseena menyedari kanak-kanak sekitar usia 'mumaiyiz' itu lebih gemar menyendiri. Dia sukar didekati oleh mana-mana petugas sukarela yang bertamu di situ, apatah lagi untuk bermesra dan diajak berbicara. Haseena melangkah perlahan kearahnya, khuatir keasyikannya dalam dunia sendiri terganggu.

"Apa yang sedang kamu mainkan, sayang?", sapa Haseena dengan penuh kelembutan. Haseena melunakkan nada, sengaja untuk menzahirkan kelembutan untuk mendampingi anak itu. Ahmed cepat-cepat memadam lakarannya dan menundukkan kepalanya, seakan-akan tidak menyenangi kehadiran gurunya itu. Matanya yang galak dan beralis lentik terkebil-kebil memandang tanah dan kemudiannya melontarkan pandangannya ke arah kawan-kawannya yang lain.

"Oh, kamu bermain batuan... Eh, cantiknya lukisan kamu!", Haseena masih cuba memujuk jiwa Ahmed untuk beramah mesra dengannya. Ahmed segera memadam sisa-sisa lukisannya yang masih berbaki. Sekali lagi dia membisu dengan wajahnya yang mampu menggamit rasa keibuan.Wajahnya yang redup itu menggambarkan sesuatu yang begitu berat untuk ditanggungnya. Perasaan ngeri, hiba, takut, geram, derita, kecewa, hampa. Barangkali kesemuanya!

Ahmed kemudiannya bangun dan terus berlari meninggalkan Haseena sendirian. Haseena cuma tersenyum. Tiada secebis pun rasa terkilan dalam benaknya. Dia faham, itulah jiwa anak Palestin, itulah jiwa 'Atfal al-Hijarah'. Memendam rindu yang teramat sangat, mungkin kepada ayah atau ibu atau kedua-duanya yang telah dimamah rakus oleh peluru-peluru Zionis.

Haseena mengetahui yang Ahmed tinggal bersama-sama neneknya setelah kehilangan ibu dan ayahnya. Pasti ia satu yang memeritkan. Perlahan-lahan, manik-manik jernih mengalir dari mata Haseena. Dia menggengam tangannya erat-erat. Terasa mengalir satu semangat baru dalam dirinya. Di kotak fikirannya terbayang wajah Ahmed yang sedang tersenyum riang. "Aku mesti lakukan sesuatu!!", getus hatinya.

*********

Haseena merenung keluar khemahnya. "Hmm, sudah malam", bisiknya sendirian. Khemahnya yang disediakan oleh pihak Aman Palestin Malaysia, 2 tahun lalu masih utuh sehingga sekarang. Dia hanya tinggal bersendirian memandangkan kesemua ahli keluarganya telah meninggal dunia.

"Umurku sudah menjangkau 30 tahun. Nour sudah kahwin, Sofia pun sudah, Aisya yang dulunya beria-ia tidak mahu kahwin, akhirnya berkahwin juga. Suaminya adalah ahli Briged Ezzedin Al-Qassam. Aku, bila lagi??" soal hatinya.

Haseena tertawa sendirian. Dirinya punya alasan tersendiri, punya matlamat tersendiri yang mesti dicapai sebelum dia melangkah ke gerbang perkahwinan. Dia mempunyai satu impian untuk melihat anak-anak Palestin seperti Ahmed dan lain-lain berjaya dalam pelajaran seterusnya kembali membantu perjuangan pembebasan di Palestin. Dia mencapai sebatang pen dan menyelak helaian diarinya yang terletak di atas meja lalu menulis:

''Hari ini, aku terpanggil untuk mendekati Ahmed. Aku cuba menegurnya, mengajaknya berbual denganku tetapi dia seperti sukar untuk diajak berbicara. Mungkin kesan daripada kisah silamnya. Aku kini sudah mempunyai semangat baru. Semangat yang membara untuk mendidik anak-anak muridku sehingga berjaya.

"Aku ingin mereka menjadi seperti Abdel Aziz Rantissi, pakar kanak-kanak yang berjaya yang juga pemimpin nombor satu dalam HAMAS. Aku juga membayangkan mereka sebagai Yehya Ayyash, The Engineer, pakar bom dalam HAMAS.

"Aku juga sering membayangkan mereka sebagai Syeikh Isa Shiam, Syeikh Solah Syahadah, Syeikh Abdel Mu'in dan jutaan lagi mujahid HAMAS yang berpelajaran tinggi. Aku teringat peristiwa sewaktu kecilku. Ketika itu, aku berumur lebih kurang tujuh tahun.

"Pada suatu hari, aku terlewat ke sekolah. Sebaik sahaja aku menjengah masuk ke kelas, aku dimarahi guru dengan amat sangat. Lalu, guruku mendendaku berdiri di luar kelas sepanjang hari. Aku hairan, mengapa aku diperlakukan sedemikian sedangkan inilah pertama kalinya aku terlewat ke sekolah.

"Setelah tamat sesi persekolahan guruku memanggilku masuk ke dalam kelas dan menasihatiku dengan penuh kelembutan. Aku masih ingat akan kata-katanya. "Haseena, kamu kena ingat. Seminit kamu terlambat untuk mengikuti pembelajaran di kelas, maka masa untuk Palestin bebas dari belenggu Israel akan menjadi semakin panjang. Hanya pelajaran dapat merubah segalanya.

"Sebab itulah, di mana-mana pun tentera Israel berada, mereka memusnahkan sekolah-sekolah. Tetapi, mereka lupa bahawa mereka tidak boleh memusnahkan sesuatu; semangat dan pengorbanan seorang guru!

"Cikgu akan terus mendidik awak semua sehinggalah ke titisan darah terakhir cikgu. Aish Azizan wa Muut Syahidan!!

"Itulah kata-kata guruku yang terakhir. Khabarnya, beliau mati akibat terkena peluru sesat ketika peristiwa berdarah di kem Ain al-Hilwih, enam belas tahun yang lalu.''

Haseena menutup diarinya yang kusam dan berbaring di atas tikar. Walaupun sekadar tikar usang, ia sudah cukup selesa buat pelarian sepertinya. Haseena menyeluk tangannya di bawah tikar dan mengeluarkan sebuah buku. Dibelek-beleknya buku tersebut dan dia terus duduk bersila memegang buku itu. Di atas buku itu tertulis

"Rekod Pengajaran Haseena ". Dia menyelak pula helaian demi helaian buku rekod pengajarannya. Hampir dia tidak menyedari bahawa sudah genap lima tahun dia berbakti di Kem Khan Younis sebagai guru. Banyak suka dukanya sepanjang mendidik anak-anak pelarian Palestin. Dia tidak mengharapkan wang daripada ibu bapa anak-anak muridnya. Baginya, itu adalah sedekah yang termampu diberinya sebagai sumbangan untuk anak bangsa.

"Hmm...apa yang aku patut ajar esok hari?," soal Haseena pada dirinya. Dia mencari-cari helaian silibus pembelajaran untuk anak-anak muridnya. Silibus itu diberikan oleh pihak Palestine Centre of Excellence (PACE) dari Malaysia sewaktu lawatan mereka ke Kem Khan Younis tujuh tahun lalu. Khabarnya, silibus itu juga adalah selaras dengan silibus pembelajaran kanak-kanak di Malaysia. Dia meneliti satu persatu keterangan dalam silibus itu sambil berfikir,

"Alangkah beruntungnya hidup di Malaysia. Dapat hidup aman dan bahagia bersama keluarga tercinta".

Pun begitu, dia masih tertanya-tanya tentang tindakan Malaysia selaku negara berpengaruh dalam OIC. Haseena tidak mahu OIC hanya sekadar sibuk bermesyuarat dan akhirnya hanya melihat. Dia berkehendakkan sesuatu daripada OIC selaku pertubuhan negara Islam. Dia dan seluruh warga Palestin menuntut perhatian dan pembelaan dari seluruh umat Islam atas penderitaan mereka.

Di mana negara Arab??? Di mana umat Islam??? Adakah mereka hendak menunggu Eretz Yizrael menghapuskan secara total keturunan bangsa Kan'an, bangsa yang sah mendiami Palestin?

*********

Tepat jam 3 pagi, Haseena terjaga. " Astaghfirullahalazim! Aku belum solat Isyak!", kata Haseena. Lantas dia bangun dan mengambil wuduk di bekas takungan air di luar khemahnya. Sudah menjadi kebiasaan Haseena, bangun pada jam 3 pagi untuk menunaikan solat Tahajud. Cuma, pada hari itu, mungkin terlalu melayan amarahnya dan sedikit keletihan, langsung dia terlelap.

Usai solat Isyak, Haseena meneruskan dengan solat Tahajud dan solat Hajat. Sujud terakhirnya agak lama. Merintih dan mengadu nasib pada Al-Khaliq. Selesai sahaja solat Hajat, Haseena mencapai naskhah al-Quran yang diletakkan di atas almari. Dia membuka al-Quran itu pada mukasurat yang ditandanya. Haseena membaca al-Quran hampir setiap hari jika berkesempatan. Sedang asyik membaca, anak mata Haseena terhenti pada satu ayat,

"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki." (Surah Ali Imran : 169)

Air matanya tidak dapat dibendung lagi. Haseena terkenang akan pengorbanan gurunya yang telah mendidiknya sejak kecil lagi. Dia begitu mencemburui gurunya yang telah pun mendapat syahid dan berada di tempat yang mulia disisi Allah. Rohnya mungkin sedang bergembira bersama para Anbiya', salafussoleh dan pejuang-pejuang Islam lain. "InsyaAllah, cikgu.Tunggu saya di syurga", bisik hati Haseena.

Pagi itu, selepas solat Subuh, Haseena terus bergegas ke 'sekolah'. Istilah 'sekolah' di Palestin boleh jadi pelbagai tanggapan. Apabila disebut 'sekolah', ada yang membayangkan sebatang pokok dan dan di bawahnya terdapat guru dan murid-murid bersama papan hitam yang kecil saiznya. Ada yang yang membayangkan khemah yang berlubang-lubang.

Bagi Haseena,dia amat bersyukur dengan kemudahan asas pengajaran dan pembelajaran yang disumbangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada kemnya. Sebuah khemah, sebuah papan hitam bersaiz sederhana,dan buku-buku catatan untuk anak-anak muridnya.

Seperti biasa, dia memulakan pengajarannya pada hari itu dengan lafaz ''Bismillahirrahmanirrahim''. Sambil mengajar,dia menjeling-jeling ke arah Ahmed. Dia ingin memastikan yang Ahmed juga memberikan penumpuan terhadap pelajarannya. Ahmed kelihatan tekun menyalin nota yang diberi.

Sesekali, Haseena tersenyum sendirian melihat telatah Ahmed menyalin notanya. Terkadang menggaru–garu kepalanya. Ada kalanya dia mengecil dan membesarkan matanya yang galak. "Comelnya...kalaulah adik aku masih hidup, mungkin dia seusia Ahmed". Haseena membayangkan Kaseem, adiknya yang telah maut dibedil kereta kebal Israel. Lamunannya terhenti apabila tersentak dengan teriakan anak muridnya,

"Cikguuu.. sekarang waktu rehat!!!"

"Hmm..kamu semua ni", Haseena mengomel sendirian sambil tersenyum selepas membenarkan anak-anak muridnya keluar rehat. Ahmed tidak keluar rehat. Dia termenung sendirian. Haseena melangkah perlahan menuju ke meja Ahmed.

"Ahmed, kamu tak nak main dengan kawan-kawan?", tanya Haseena.

"Tak...saya tak suka main", jawab Ahmed lembut. Bagai ada satu perkara yang disembunyikan anak kecil ini dari tutur katanya.

"Kamu suka makan roti kan? Ni, cikgu bawakan roti untuk kamu. Kita makan sama-sama,ya?," pujuk Haseena. Ahmed menggeleng. Haseena tidak berputus asa.

"Cikgu suap ya?", Haseena cuba lagi memujuk anak muridnya itu. Haseena menyuakan cebisan roti ke mulut Ahmed.

"Emm..dulu, cikgu ingat lagi waktu hari pertama kamu belajar. Bila cikgu tanya cita-cita, kamu kata, nak jumpa Walid dan Ummi di syurga, betul kan?," Haseena cuba mengajak Ahmed berbicara. Ahmed mengangguk dan tersenyum.

"Saya nak lawan tentera Israel. Israel jahat. Bunuh Walid dengan Ummi!!", akhirnya Ahmed melepaskan segala yang terbuku di hatinya. Ahmed merindukan kasih seorang ayah dan seorang ibu. Haseena terharu mendengar kata-kata anak kecil itu. Dalam nada sebak, Haseena berkata,

"Ahmed, Ahmed nak balas dendam untuk Walid dan Ummi kan? Ahmed kena makan, baru ada tenaga, baru boleh belajar pandai-pandai. Lepas tu, Ahmed boleh lawan Israel. Kalau nasib baik, Ahmed bolehlah jumpa Walid dan Ummi di syurga. Makan ya,sayang?". Ahmed memandang ke arah Haseena dengan senyuman terukir di bibirnya. Dia memeluk Haseena dan berkata,

"Terima kasih cikgu! Cikgu...Ummi!", bisik Ahmed ke telinga Haseena.Haseena tersenyum bangga kerana dia telah membawa harapan baru dalam hidup Ahmed. Hari-hari yang mendatang menyaksikan Ahmed lebih bersemangat dan tekun dalam pelajarannya. Haseena juga rajin menjenguk Ahmed dan neneknya di khemah yang tidak jauh dari khemahnya. Setiap kali Haseena datang menziarahi mereka, Ahmed akan berteriak,

" Nenek, Ummi Haseena datang!!!". Haseena sudah menganggap Ahmed seperti anaknya sendiri. Siang dan malam, Haseena akan ke khemah Ahmed untuk menemaninya mengulangkaji pelajaran. Kadangkala, Ahmed terlena manja di pangkuan Haseena.

*********

Seperti biasa, setelah tamat sesi persekolahan, Haseena pulang ke khemahnya. Tetapi, ada satu kelainan yang di lihat. Nun jauh di timur, di bawah bahang panas matahari, segerombolan batalion tentera lengkap bersenjata, berbekalkan Ben, Rifles dan Sten Guns automatik menghala ke kem Khan Younis. Kelihatan juga trak-trak tentera bersama kereta kebal mara ke kem tersebut.

"Inikah tentera Israel yang khabarnya telah menawan Asqalan, Ashdod, El-Ramlah, Netanya dan Khudaera?", bisik Haseena. Dia kemudiannya terus berlari dan memberitakan hal ini kepada orang yang lalu lalang.

"Khabarkan pada semua!!! Israel laknatullah telah sampai ke kem kita!!!", teriak Haseena.

Keadaan sudah terlambat. Pihak Zionis telah mengepung kawasan kem Khan Younis secara empat penjuru. Pelarian di Kem Khan Younis bertempiaran lari. Tentera Zionis bagaikan anjing gila meratah tubuh-tubuh wanita, kanak-kanak dan orang tua dengan peluru yang membabi buta. Haseena tiba-tiba teringat.

"Ahmed!!!", jeritnya. Pantas dia berlari dari khemah ke khemah menuju ke khemah Ahmed. Kelihatan di situ, seorang tentera Zionis telah menarik picu untuk menembak Ahmed. Keadaan semakin genting. Haseena terlihat nenek Ahmed terbaring kaku dengan tubuhnya bersimbah darah.

Apabila tentera itu melepaskan tembakan, Haseena menolak Ahmed ke tepi dan... Dammmm!!!! "Allahuakbar!!!", teriak Haseena. Peluru yang dilepaskan sebentar tadi telah menembusi dadanya. Ahmed yang berada berhampiran, berlari dan memangku Haseena sambil menangis.

"Cikgu...cikgu jangan mati. Nenek saya dah mati. Saya cuma ada cikgu seorang saja.", rayu Ahmed. Air matanya membasahi pipi dan diseka berulang kali. "Ahmed, kamu mesti tabah. Kamu kena teruskan hidup, jangan mengalah ",kata Haseena tersekat-sekat.

"Ahlan wa Sahlan ya Izrail..."ucap Haseena. Dia melafazkan kalimah syahadah dan matanya tertutup rapat. Terpancar sinar di wajahnya yang mulus. Sejurus selepas itu, kedengaran lagi dua das tembakan,

"'Dammm!!!Dammmm!!!"

"Arrggghh...!!!", jerit Ahmed. Dua das tembakan menembusi paha dan kepalanya. Pandangannya kabur seketika.

Ummi!!! Walid!!! Cikgu!!! Ahmed nampak roh mereka berterbangan menuju ke suatu tempat. Tempat yang begitu indah untuk diucap dengan kata-kata.

Gelap.

Aku ingin...aku ingin...Bersama dengan Walid, Ummi dan cikgu di sana. Ya Allah...Sakitnya...

Ahmed nampak Ummi, Walid dan cikgu menuju ke arahnya, menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Ahmed tersenyum. Dia mengucapkan ucapan yang sama seperti Haseena, "Ahlan wa Sahlan ya Izrail..." Dia tersenyum lagi, sambil matanya perlahan-lahan tertutup. Berangkat bermusafir jauh. Renyai-renyai hujan yang tiba-tiba turun di bumi Khan Younis berbau harum, seharum wangian Firdausi, seakan meraikan pemergian seorang guru dan seorang mujahid kecil.

MALAYSIA, 16 MEI 2009...

"Sobri, sempat lagi baca surat khabar? Cepatla, majlis nak mula dah ni.", gesa Cikgu Syawal kepada rakannya, Sobri. "Hmm...inilah dunia sekarang. Kesian...kesian.", kata Cikgu Sobri sambil menggeleng-geleng kepalanya.

"Kenapa?", tanya Cikgu Syawal kehairanan. "Nah, baca tajuk muka depan.", Cikgu Sobri menyerahkan akhbar Berita Harian itu kepada Cikgu Syawal. Dia mencapai akhbar itu dan membaca. Cikgu Syawal terkesima sebentar. Kemudian menunduk. "Hmm...", keluhnya penuh simpati.

*********

''Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.'' (Surah Al-Taubah : 111)

No comments:

Post a Comment