Thursday, December 9, 2010

Dr. Faisal Tehrani - Cabar Minda Pembaca Melalui Karya

Karya penulisan yang beliau hasilkan kebanyakannya adalah bahan bacaan yang serius dan berat, yang ada kalanya memerlukan kefahaman yang tinggi. Beliau gemar menimbulkan banyak persoalan pada jalan cerita yang dihasilkan supaya pembaca berfikir.

Jika dibandingkan beberapa dekad yang lalu, bidang penulisan tidak dianggap sebagai pekerjaan tetapi sekadar hobi untuk mengisi masa lapang. Namun yang menariknya kini, penulis mampu 'membuat duit' melalui karya penulisannya. Penulis juga lebih banyak bermonolog dan berimaginasi. Sebaik selesai berkarya, tiba masanya ia berkongsi dengan pembaca. Sama ada hebat atau tidak hasil penulisannya, ia dinilai dengan penerimaan dan kritikan daripada pembaca.

Pengalaman peribadi, pengembaraan, dan pembacaan adalah aset bagi penulis yang dikenali sebagai Faisal Tehrani. Namanya cukup terkenal bagi peminat dunia sastera dan novel yang dianggap hebat menukil kata-kata dan melontarkan idea serta kefahamannya dalam penulisan.

"Untuk menghasilkan penulisan yang baik, seseorang itu perlu banyak membaca. Ini kerana, sumber utama bagi penulis adalah pembacaan dan pengalaman," kata beliau yang merupakan anak sulung daripada dua orang adik-beradik.

Walaupun begitu ramai penulis muda yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, belum ada lagi mampu mencabar idea dan kreativiti karyawan muda ini yang dilihat sudah mampu berada sebaris dengan karyawan seperti Datuk A. Samad Said.

Biodata Faisal Tehrani

Nama : Mohd Faizal Musa
Nama Pena : Faisal Tehrani
Tarikh Lahir : 7 Ogos 1974
Status : Berkahwin
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Syariah-Politik (Universiti Malaya-1998), Ijazah Sarjana Sastera (Universiti Sains Malaysia-2000), Doktor Falsafah (Universiti Kebangsaan Malaysia-2010)
Kerjaya : Pensyarah di Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Penulis.
Anugerah dan Pencapaian :
- Anugerah Seni Negara 2006 oleh kerajaan Malaysia
- Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 oleh Kerajaan Negeri Melaka.
- 1511H Kombat - tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2003.
- Advencer Si Peniup Ney - tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004.
- Detektif Indigo - tempat kedua Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004.
- Surat-surat Perempuan Johor - memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1.
- Bedar Sukma Bisu - memenangi Sayembara Jubli Emas DBP kategori novel umum dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007.
- Manikam Kalbu - memenangi Sayembara Jubli Emas DBP kategori novel remaja, Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia kategori Buku Remaja Fiksyen Terbaik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007.
Dalam bidang drama pentas :
- Rintih Chicago (memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97).
- Angin Madinah (memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia-DBP dan memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001).

Bermulanya Langkah Dalam Seni Penulisan

Perjalanan seninya bermula seawal umur 16 tahun. Pada ketika itu beliau menulis sekadar mencari duit poket untuk perbelanjaan sendiri. Namun akhirnya, aktiviti itu berubah kepada minat yang begitu mendalam. Bertatih dengan cerpen, kemudian novel dan puisi, kini beliau juga terlibat dalam penulisan skrip dan pengarah drama pentas.

Cerpen pertama beliau yang berjudul Anastasia telah disiarkan pada tahun 1992. Lama kelamaan kemampuan penulis ini semakin terserlah dengan memenangi pelbagai anugerah termasuklah Anugerah Seni Negara pada 2006 oleh kerajaan Malaysia dan Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 oleh kerajaan Negeri Melaka.

Manakala, novel pertama beliau ialah Perempuan Politikus Melayu yang berjaya mendapat pujian daripada pengkritik sastera negara kerana dianggap sebuah novel yang 'berani' mengupas isu, permasalahan dan dilema yang turut menimbulkan kontroversi. Padahal, ketika menghasilkan novel tersebut, beliau baru berumur 19 tahun.

Menurut beliau, idea penghasilan novel itu sedikit sebanyak sebagai menyahut cabaran Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang berjaya menyiapkan naskhah Salina pada usia 20 tahun. Yang membanggakan, novel tersebut kemudian dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia sehingga berjaya mengangkat namanya.

Beliau bertuah kerana berpeluang mencedok ilmu daripada Sasterawan Negara tersebut secara tidak formal selain daripada Datuk Shahnon Ahmad, Profesor Ali Ahmad dan Zakaria Ali yang membantu beliau mengembangkan bakat dalam bidang kesusasteraan semasa beliau menuntut dalam bidang sarjana.

Karya penulisan yang beliau hasilkan kebanyakannya adalah bahan bacaan yang serius dan berat, yang ada kalanya memerlukan kefahaman yang tinggi. Beliau gemar menimbulkan banyak persoalan pada jalan cerita yang dihasilkan supaya pembaca berfikir. Namun, di sebalik persoalan yang ditimbulkan, akan dijelaskan jawapannya. Jadi, jalan ceritanya sentiasa disusun kemas tanpa ada kekeliruan cuma memerlukan daya pemikiran yang tinggi.

"Saya banyak menyentuh subjek tentang politik, sejarah dan agama kerana ia dapat mencabar minda pembaca sebagaimana kehendak masyarakat hari ini. Saya tidak menghasilkan novel cinta namun kisah percintaan hanya menjadi fokus atau perkara kedua dalam cerita saya," kata Faisal yang suka melukis ketika ketiadaan idea untuk menulis.