Sunday, March 20, 2011

Layakkah Kita Bergelar Saudara?

Layakkah Kita Bergelar Saudara?


"Umi!!!!" Khalid menjerit nyaring.

Sebaris rumah baru sahaja dihancurkan oleh jentolak di hadapan matanya. Khalid yang bersembunyi di sebalik batu-batu yang ada hampir sahaja menjerit ketakutan, mujur suaranya itu tersekat di kerongkong sehinggalah tentera-tentera kejam itu berlalu pergi... Jika tidak, entahkan hidup entahkan tidak lagi dirinya di muka bumi ini.

"Umi!!!" Khalid menjerit lagi.

Kanak-kanak berusia 6 tahun itu berlari-lari di atas serpihan batu-bata,t erpaksa memungkinkan bahawa ibunya ada di situ... Cuaca yang panas terik tidak memberhentikan kakinya daripada terus melangkah, berlari ke segenap penjuru mencari insan yang paling dikasihinya.

"Khalid.. Khalid anak umi..."

Suara lembut itu membuatkan kepala Khalid menoleh ke arah sisinya. Wajahnya yang dibasahi peluh tersenyum senang melihat kehadiran Nur Laili, satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup pada saat itu. Khalid berlari ke arah Nur Laili, Nur Laili mendakapnya senang...

"Umi, Khalid ingat umi dah tinggalkan Khalid macam abi..."

* * *

"Khalid... Mari cepat pergi ke masjid, sekejap lagi azan ni!"

Kedengaran suara Salman Al-Farisi memanggil dari luar rumah. Khalid yang baru sahaja keluar dari bilik air terkedek-kedek lari mendapatkan bapanya.

"Umi, Khalid pergi dulu..." ucapnya seraya melangkah pergi...

"Abi, kenapa kita kena solat di masjid?. Umi tak pergi masjid pun abi..." Khalid bertanya. Matanya yang bening memandang tepat ke dalam anak mata Salman Al-Farisi.

Salman Al-Farisi menarik nafas panjang.

"Kita kan orang Islam sayang, kita lelaki, lelaki kuat, jadi kena solat di masjid. Umi tak apa solat di rumah. Lagipun, bila ramai-ramai orang Islam berkumpul di masjid, orang kafir pun akan gerun, nampaklah orang Islam ni bersatu, bila bersatu, kita akankuat kan sayang?" Salman Al-Farisi cuba menerangkan seringkas mungkin buat kanak-kanak berusia 6 tahun itu.

"Tapi abi...."

"Kenapa Khalid?"

"Kenapa dulu masjid kosong saja, sekarang ni baru nampak penuh... Bukankah sekarang ni banyak tentera, kat setiap penjuru ada tentera, dulu tak ada tentera kenapa orang tak sibuk ke masjid?" Penuh ketulusan suara itu bertanya.

Salman Al-Farisi termenung jauh. Tangannya yang memimpin tangan Khalid digenggam seerat mungkin. Bagaimanakah cara terbaik untuknya menerangkan keadaan ummah pada masa kini kepada kanak-kanak sekecil Khalid.

"Khalid... Kalau Khalid dapat apa yang Khalid nak, tapi Khalid degil, tak mahu dengar cakap abi.. Tiba-tiba satu hari semua tu abi ambil balik , Khalid hidup susah, baru Khalid rasa betapa bermaknanya kesenangan yang lalu kan?"

Angguk.

"Macam tu jugalah keadaan sekarang ni. Dulu, Allah bagi nikmat banyak sangat... Tapi manusia tak mahu bersyukur malah manusia tak nak dengar cakap Allah. Sekarang ni, bila dah susah baru semua tahu betapa pentingnya sesuatu arahan Allah. Mustahil arahan daripadaNya itu sia-sia."

"Abi, Khalid tak mahu lawan cakap Allah!" Khalid bersemangat.

"Ya sayang, Khalid kena jadi macam Khalid Al-Walid. Dia seorang panglima perang yang hebat, dia tak pernah gentar dalam mempertahankan agama Islam bahkan dia rela mati di jalan Allah". Bersemangat Salman Al-Farisi memberi kekuatan buat si anak kecil itu. Satu-satunya anak yang masih tinggal untuk bersama-samanya berjuang di jalan Allah.

"Macam abang-abang?" Khalid bertanya lagi.

Terlalu perit kenangan yang lalu itu untuk dikenang. Anak-anaknya semua berjumlah 5 orang. Kelima-limanya adalah lelaki dan 4 orang daripadanya telah pun syahid di jalan Allah. Biarpun perit, namun Salman Al-Farisi tetap bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang bergelar mujahid fi sabilillah!

"Abi....."

Khalid mula menyorok di belakang Salman Al-Farisi.

Lamunan Salman Al-Farisi terhenti. Matanya tertancap, melihat objek-objek yang bergerak di hadapannya. Kelihatan beberapa orang tentera berlegar-legar dengan senapang di sisi. Salman Al-Farisi memandang Khalid di sisi yang ketakutan.

Allah... lindungilah anak yang tidak berdosa ini...

Salman Al-Farisi mendukung tubuh kecil Khalid dan melangkah gagah menuju ke masjid yang berada beberapa langkah lagi di hadapannya. Khalid menangis semahunya di bahu abi tercinta...

* * *

Pom! Pom!

Bunyi ledakan peluru membantutkan konsentrasi seluruh jemaah yang sedang bersolat. Khalid terpaku melihat beberapa baris jemaah yang telah pun rebah ke bumi akibat ditembak ketika sedang bersolat. Sebentar sahaja, dan tentera-tentera kejam itu pun pergi meninggalkan mayat-mayat bergelimpangan di dalam masjid.

Khalid mula tidak keruan. Di mindanya tergambar wajah abi tercinta... Khalid mundar-mandir. Satu persatu wajah para syuhada' yang berada di lantai masjid di tatapnya. Dan...

"Abi!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"

Khalid meraung. Wajah insan yang amat disayanginya berada di situ. Kepala Salman Al-Farisi berlubang ditembusi peluru. Darah yang berwarna merah pekat mengalir membasahi separuh mukanya.Mengerikan.

"Abi... Kenapa tinggalkan Khalid..."

Pandangan Khalid mulai kelam dan Khalid rebah di situ...

* * *

"Umi..." Khalid bersuara dalam sendunya yang masih berbaki.

Nur Laili yang asyik mengelamun tersentak.

"Ya sayang.." Tangan yang mampu menggoncang dunia itu mengusap lembut kepala Khalid. Penuh kasih.

"Kenapa negara Islam yang lain tak bantu kita?"

Nur Laili terdiam, terpegun dengan pertanyaan si anak kecil yang dimatangkan dengan kesusahan hidup, kengerian peperangan, melarat tanpa insan bergelar ayah di sisi.

"Mereka bantu sayang, mereka beri duit, makanan.."

"Tapi umi, Khalid nak senjata! Khalid nak lawan tentera-tentera yang zalim tu!"

Nur Laili tersentak sekali lagi.

"Umi..." Perlahan, Khalid memanggil.

"Ya sayang..."

"Adakah mereka mendoakan kita?".

"Siapa?"

"Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?"

Nur Laili terdiam. Kepetahan Khalid membuatkan jiwanya bergelora.

Ya Allah, adakah kami berada dalam ingatan saudara-saudara kami yang sedang hidup dalam kesenangan sekarang???.

"Umi..."

Khalid memanggil lagi.

"Ya..."

"Tidak malukah mereka apabila ditanya di Padang Mahsyar nanti apa yang mereka telah lakukan untuk saudara mereka yang berada dalam kesusahan seperti kita?".

"Siapa?"

"Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?"

Diam.

"Umi.."

"Ya nak.."

"Apa yang telah mereka lakukan untuk kita?". Khalid yang selesa berada dalam pelukan seorang wanita bergelar umi menggenggam erat tangan wanita solehah itu.

"Siapa?"

"Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?"

Ayat yang sama diulang-ulang oleh anak kecil itu. Mata Nur Laili mula digenangi air...

"Umi tidak tahu sayang..."

''Oh Allah... Masihkah kami layak bergelar saudara???''.

"Umi..."

"Ya sayang..."

Nur Laili mengucup penuh kasih dahi anak kecil itu. Khalid tidak seharusnya merasai suasana seperti ini, terlalu kejam buat dirinya...

"Umi... Abi pernah kata kalau perang, seharusnya mereka berperang dengan tentera sahaja, bukan orang awam macam kita. Betulkah umi?"

"Ya sayang.."

"Jadi mengapa kita digelar pengganas umi?"

Nur Laili tidak mampu lagi menahan air matanya daripada tumpah. Setitik demi setitik, dia tidak tahu mengapa mereka digelar pengganas. Mungkinkah faktor media massa atau apa?. Itu semua dia tidak kisah tapi mengapa ada juga segelintir umat Islam yang mengatakan mereka pengganas?. Tidakkah mereka tahu keadaan saudara mereka ketika ini...

"Kenapa umi menangis?"

Khalid yang merasa titisan air mata jatuh ke atas kepalanya lantas bangun dan mengelap air mata itu..

"Umi, di padang Mahsyar nanti, air mata ini bakal menjadi saksi buat saudara-saudara kita yang diam, membisu tanpa memberi bantuan, kan umi?".

Angguk.

Pom!!!.

Ledakan peluru itu tepat mengenai dada Nur Laili... Khalid terperanjat. Ini merupakan kali kedua insan kesayangannya rebah di hadapan matanya. Khalid menangis.. Tangannya yang kecil menggoncang-goncang tubuh Nur Laili yang kaku. Sekejap sahaja, tangannya merah dibasahi darah umi tercinta.

"Umi, siapa lagi yang akan menerangi malam Khalid..."

Tentera-tentera kejam itu mara menghampiri Khalid. Senapang diacukan ke kepala kanak-kanak kecil itu. Khalid memandang dengan perasaan amarah kerana maruah dia dan keluarganya telah dirobek-robek. Dia tidak lagi gentar. Batu di sebelahnya di genggam kemas, dan..

"Aku mahu jadi seperti Khalid Al-Walid. Allahu akbar!!" Khalid bangun dan melontar batu itu ke arah tentera yang hampir dengannya. Serentak dengan itu juga bunyi ledakan peluru kedengaran lagi, tepat menembusi kepala Khali. Khalid rebah di samping uminya...

"Umi.... Kita dapat jumpa abi dan abang-abang nanti..."

Dan mata Khalid terpejam jua, untuk selamanya...
.

Thursday, February 17, 2011

Segelas Susu Setulus Budi




Di suatu hari di musim bunga seorang pengembara sedang menikmati pemandangan indah di sepanjang perjalanannya. Sudah beberapa jam si pengembara berjalan kaki memerhatikan pemandangan indah di kawasan perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang mekar, unggas dan serangga yang berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang cantik dihiasi kuntuman bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.

Tetapi perjalanan yang jauh dan matahari yang semakin terik menyebabkan pemuda yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya kering, sedangkan pengembaraannya masih panjang lagi.
Dalam keletihan itu, dia ternampak rumah kecil di sebuah ladang di tepi jalan yang dia susuri iutu. Dia lantas memutuskan untuk singgah sebentar di situ. Setelah mengetuk pintu beberapa kali, pintu akhirnya dibuka oleh seorang budak perempuan yang sungguh comel.

Pemuda itu menceritakan yang dia sedang mengembara, perjalanannya masih jauh dan dia merasa terlalu dahaga dek panas terik sepanjang perjalanan. Dia amat berharap budak perempuan itu dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu meminta diri dan bergegas ke dapur. Dia kembali semula mendapatkan pemuda tersebut bersama segelas susu. Dia bukan sekadar membawa air tetapi segelas susu!
Dia merasakan pemuda tersebut bukan sekadar dahaga tetapi juga memerlukan tenaga untuk meneruskan pengembaraannya.

“Berapa harga susu ini?” tanya pemuda itu selepas menghabiskan susu tersebut.

Jawab budak perempuan itu, “Oh, percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan” tutur anak comel itu teratur dan penuh sopan.

Pengembara muda itu tersentuh hati dengan jawapan tersebut. “Kalau begitu, saya hanya dapat mengucapkan terima kasih sahaja,”kata pemuda tersebut, disambut oleh budak perempuan itu dengan senyuman dan anggukan.

Sifat mulia budak perempuan itu memberikan kesan yang mendalam kepada pemuda yang berkenaan. Kejujuran budak itu dan keengganannya menerima sebarang bayaran, walaupun dirinya sendiri miskin, sering saja bermain dalam fikiran pemuda tersebut.

Tahun berganti, budak perempuan itu yang kini berusia 20-an, diserang penyakit kronik. Dia dihantar ke sebuah hospital terkenal di tengah kota untuk diperiksa oleh doktor pakar dan seterusnya menjalani pembedahan. Seorang doktor dipanggil.

Sejurus melihat wajah gadis itu dan alamat tempat tinggalnya, doktor itu segera terkenang saat dia meneguk segelas susu suatu ketika dahulu. Tidak lain tidak bukan, inilah budak perempuan yang pernah memberinya segelas susu dan kemudiannya berkata,” Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan,”

Kini masanya untuk membalas jasa. Doktor itu melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Si gadis ditempatkan di wad untuk beberapa lama. Pembedahan dilakukan dan penyakit gadis berkenaan berjaya diubati.

Kini bayaran perlu dikenakan kepadanya. Bil rawatan ditunjukkan kepada doktor itu untuk pengesahan. Doktor tersebut menyelaknya sehelai demi sehelai. Dia memerhatikan setiap angka yang tercatat pada bil tersebut, kemudian menulis sesuatu di bucu helaian terakhirnya. Setelah itu dia menurunkan tandatangannya. Bil itu dihantar ke alamat yang tertera, iaitu sebuah rumah kecil di pinggir ladang.

Gadis tersebut menggeletar sebaik menerima bil tersebut. Helaian demi helaian dibeleknya, ternyata jumlahnya terlalu besar. Dia tidak mampu membayarnya. Walau si gadis bekerja sepanjang hayat sekalipun, belum tentu dia dapat membayar bil yang dikenakan itu.

Jumlah-jumlah yang menakutkan terus terpapar, hinggalah ke helaian terakhir apabila si gadis membaca satu catatan ringkas di bucunya. Tulisan itu berbunyi…

“Sudah DiBayar Dengan SeGelas Susu.” - Dr Howard Kelly-

Artikel ini adalah pengalaman sebenar Dr Howard Kelly (1858-1943), salah seorang daripada empat doktor yang mengasaskan Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat.

Thursday, December 9, 2010

Dr. Faisal Tehrani - Cabar Minda Pembaca Melalui Karya

Karya penulisan yang beliau hasilkan kebanyakannya adalah bahan bacaan yang serius dan berat, yang ada kalanya memerlukan kefahaman yang tinggi. Beliau gemar menimbulkan banyak persoalan pada jalan cerita yang dihasilkan supaya pembaca berfikir.

Jika dibandingkan beberapa dekad yang lalu, bidang penulisan tidak dianggap sebagai pekerjaan tetapi sekadar hobi untuk mengisi masa lapang. Namun yang menariknya kini, penulis mampu 'membuat duit' melalui karya penulisannya. Penulis juga lebih banyak bermonolog dan berimaginasi. Sebaik selesai berkarya, tiba masanya ia berkongsi dengan pembaca. Sama ada hebat atau tidak hasil penulisannya, ia dinilai dengan penerimaan dan kritikan daripada pembaca.

Pengalaman peribadi, pengembaraan, dan pembacaan adalah aset bagi penulis yang dikenali sebagai Faisal Tehrani. Namanya cukup terkenal bagi peminat dunia sastera dan novel yang dianggap hebat menukil kata-kata dan melontarkan idea serta kefahamannya dalam penulisan.

"Untuk menghasilkan penulisan yang baik, seseorang itu perlu banyak membaca. Ini kerana, sumber utama bagi penulis adalah pembacaan dan pengalaman," kata beliau yang merupakan anak sulung daripada dua orang adik-beradik.

Walaupun begitu ramai penulis muda yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, belum ada lagi mampu mencabar idea dan kreativiti karyawan muda ini yang dilihat sudah mampu berada sebaris dengan karyawan seperti Datuk A. Samad Said.

Biodata Faisal Tehrani

Nama : Mohd Faizal Musa
Nama Pena : Faisal Tehrani
Tarikh Lahir : 7 Ogos 1974
Status : Berkahwin
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Syariah-Politik (Universiti Malaya-1998), Ijazah Sarjana Sastera (Universiti Sains Malaysia-2000), Doktor Falsafah (Universiti Kebangsaan Malaysia-2010)
Kerjaya : Pensyarah di Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Penulis.
Anugerah dan Pencapaian :
- Anugerah Seni Negara 2006 oleh kerajaan Malaysia
- Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 oleh Kerajaan Negeri Melaka.
- 1511H Kombat - tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2003.
- Advencer Si Peniup Ney - tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004.
- Detektif Indigo - tempat kedua Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004.
- Surat-surat Perempuan Johor - memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1.
- Bedar Sukma Bisu - memenangi Sayembara Jubli Emas DBP kategori novel umum dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007.
- Manikam Kalbu - memenangi Sayembara Jubli Emas DBP kategori novel remaja, Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia kategori Buku Remaja Fiksyen Terbaik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007.
Dalam bidang drama pentas :
- Rintih Chicago (memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97).
- Angin Madinah (memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia-DBP dan memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001).

Bermulanya Langkah Dalam Seni Penulisan

Perjalanan seninya bermula seawal umur 16 tahun. Pada ketika itu beliau menulis sekadar mencari duit poket untuk perbelanjaan sendiri. Namun akhirnya, aktiviti itu berubah kepada minat yang begitu mendalam. Bertatih dengan cerpen, kemudian novel dan puisi, kini beliau juga terlibat dalam penulisan skrip dan pengarah drama pentas.

Cerpen pertama beliau yang berjudul Anastasia telah disiarkan pada tahun 1992. Lama kelamaan kemampuan penulis ini semakin terserlah dengan memenangi pelbagai anugerah termasuklah Anugerah Seni Negara pada 2006 oleh kerajaan Malaysia dan Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 oleh kerajaan Negeri Melaka.

Manakala, novel pertama beliau ialah Perempuan Politikus Melayu yang berjaya mendapat pujian daripada pengkritik sastera negara kerana dianggap sebuah novel yang 'berani' mengupas isu, permasalahan dan dilema yang turut menimbulkan kontroversi. Padahal, ketika menghasilkan novel tersebut, beliau baru berumur 19 tahun.

Menurut beliau, idea penghasilan novel itu sedikit sebanyak sebagai menyahut cabaran Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang berjaya menyiapkan naskhah Salina pada usia 20 tahun. Yang membanggakan, novel tersebut kemudian dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia sehingga berjaya mengangkat namanya.

Beliau bertuah kerana berpeluang mencedok ilmu daripada Sasterawan Negara tersebut secara tidak formal selain daripada Datuk Shahnon Ahmad, Profesor Ali Ahmad dan Zakaria Ali yang membantu beliau mengembangkan bakat dalam bidang kesusasteraan semasa beliau menuntut dalam bidang sarjana.

Karya penulisan yang beliau hasilkan kebanyakannya adalah bahan bacaan yang serius dan berat, yang ada kalanya memerlukan kefahaman yang tinggi. Beliau gemar menimbulkan banyak persoalan pada jalan cerita yang dihasilkan supaya pembaca berfikir. Namun, di sebalik persoalan yang ditimbulkan, akan dijelaskan jawapannya. Jadi, jalan ceritanya sentiasa disusun kemas tanpa ada kekeliruan cuma memerlukan daya pemikiran yang tinggi.

"Saya banyak menyentuh subjek tentang politik, sejarah dan agama kerana ia dapat mencabar minda pembaca sebagaimana kehendak masyarakat hari ini. Saya tidak menghasilkan novel cinta namun kisah percintaan hanya menjadi fokus atau perkara kedua dalam cerita saya," kata Faisal yang suka melukis ketika ketiadaan idea untuk menulis.

Thursday, October 14, 2010

Senarai Biasiswa di Malaysia

Senarai Biasiswa di Malaysia

Untuk pelajar-pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang, sudah pasti anda ada memasang impian untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kan? Mesti ramai yang masih blurr pasal biasiswa ni. Jadi, harap entri di blog Oh Malaysia! ini dapat bagi panduan untuk anda semua.

1. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

Biasiswa JPA ini boleh dimohon dalam masa 7 hari selepas result SPM diumumkan. Untuk JPA dan MARA, anda hanya boleh mohon salah satu sahaja dalam website eSILA. Biasiswa JPA 60% untuk bumiputera dan 40% untuk bukan bumiputera. Masa zaman saya dulu, interview JPA menggunakan dwibahasa.

Anda akan dapat 1 tajuk untuk dibincangkan dalam kumpulan selama 30 minit. Bahasa Melayu (15 minit) dan bahasa Inggeris (15 minit). Mungkin formatnya berubah, tapi saya pun tak berapa pasti. JPA menawarkan 1800++ tempat setiap tahun.

Untuk tips-tips temuduga JPA, sila klik di sini.

2. Majlis Amanah Rakyat (MARA)

Nak mohon biasiswa MARA pun guna website yang sama untuk mohon JPA. MARA hanya untuk pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera sahaja. Interview MARA tak sama macam JPA. JPA interview secara berkumpulan manakala MARA interview secara individu, face to face dengan 2 orang penemuduga.

Ada course tertentu hanya ditawarkan oleh JPA seperti Farmasi. Tapi jangan bimbang, course-course lain seperti Medicine, Biotechnology, Engineering, Accounting dan sebagainya ditawarkan oleh JPA dan MARA. Cuma kadang-kadang konfius juga sama ada nak JPA atau MARA.

Katakanlah anda dapat 6A1 4A2 atau 7A1 3A2 tapi anda nak apply course Medicine. Saya syorkan anda pilih MARA sebab dengan result yang anda dapat, susah untuk dapat JPA melainkan result anda 9A1 1A2 atau 10A1. Sama juga untuk course-course lain.

JPA dan MARA dua-dua ada kelebihan.

  • Peluang nak dapat MARA lagi tinggi berbanding JPA kerana JPA kena compete dengan semua orang tak kira Melayu, Cina atau India.
  • Kalau anda dapat JPA, anda memang dapat biasiswa walaupun keputusan tak cemerlang mana pun time degree. Kalau MARA, ada portion yang anda kena bayar kalau result tak cemerlang. Ini dinamakan biasiswa boleh ubah.
  • JPA anda terikat beberapa tahun dalam sektor kerajaan. Biasanya 6 tahun kecuali doktor terikat selama 10 tahun. MARA, anda bebas untuk bekerja di mana-mana sahaja even di luar negara sekalipun.
  • Jika anda memohon course Medicine, JPA biasanya menawarkan program twinning iaitu 3 tahun di Malaysia dan 3 tahun di luar negara. Kalau MARA pula, 5 atau 6 tahun di luar negara. Kalau saya, saya akan mohon MARA.

3. Petronas

Petronas ada tawarkan biasiswa untuk belajar di UTP atau di luar negara. Apabila dapat tawaran temuduga, anda harus mengikuti educamp selama 2 hari di UTP, Tronoh, Perak. Sepanjang 2 hari berkampung di UTP, anda akan menduduki English test (Grammar) di samping Science and Math test untuk jurusan-jurusan Sains (Engineering, Geology, Geophysics) dan Math test untuk jurusan-jurusan Business (Accounting, Economic, Finance).

Ada juga personality test untuk menguji kesesuaian anda dengan course yang anda mohon. Hari kedua, interview dalam kumpulan seramai 5 orang dan anda diminta untuk menyelesaikan satu permasalahan. Setiap orang diberi peranan berbeza dan kena bentang serta tegakkan hujah masing-masing. Interview Petronas sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Masa zaman saya, Petronas ada berpakat dengan JPA rasanya. Sesiapa yang dapat JPA tak akan dapat Petronas dan sebaliknya. Tapi siapa yang dapat MARA boleh dapat Petronas.

Untuk biasiswa Petronas, boleh mohon di sini.

4. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)

Sesiapa yang berminat nak jadi cikgu tapi nak ke luar negara, bolehlah apply biasiswa KPM. Setakat pengetahuan saya, kesemua pemegang biasiswa KPM dihantar ke UK. Bolehlah nanti tengok Man U lawan dekat Old Trafford.

Menurut rakan-rakan saya, anda akan buat degree di UK selama 3 tahun dan balik Malaysia untuk buat program pendidikan selama 1 tahun. Syarat untuk fly ke UK, mestilah mendapat 10 mata ke atas dalam peperiksaan A Level.

Saya pernah terbaca satu syarat untuk memohon biasiswa KPM ni iaitu tidak boleh menerima apa-apa tawaran lain. Tapi saya perjelaskan di sini, anda mohon saja. Tak semestinya anda mohon KPM, peluang anda untuk dapat JPA terus tertutup.

5. FELDA

Biasiswa FELDA terbahagi kepada dua iaitu untuk anak-anak FELDA sahaja dan juga anak-anak selain FELDA. So sesiapa pun boleh mohon kalau terasa nak mohon. Semua course boleh dimohon. Borang permohonan boleh download di website Felda Holdings nanti. Tapi bukan sekarang, sekarang tak keluar lagi.


6. Yayasan TNB

7. Yayasan TM

8. Yayasan Khazanah – mohon di sini

9. Yayasan UEM

10. Sime Darby – untuk trial SPM sahaja

11. Bank Negara Malaysia (BNM)

12. Permodalan Nasional Berhad (PNB)

Sila cek website-website untuk semua biasiswa ini selepas keputusan SPM dah diumumkan. Saya nasihatkan anda semua supaya rajin-rajinkan diri untuk membaca newspaper terutamanya Berita Harian dan Utusan Malaysia supaya tak terlepas iklan-iklan biasiswa itu nanti sebab kebanyakan iklan tersebut hanya disiarkan di surat khabar.

Ada juga yayasan atau kerajaan negeri yang menawarkan biasiswa seperti Yayasan Terengganu dan Kerajaan Negeri Sabah. Jadi, anak-anak Terengganu dan Sabah bolehlah mohon dengan syarat tidak mendapat apa-apa tawaran biasiswa lain.

Tuesday, September 21, 2010

Orang SeKaRang Dah TerbaliK..Kalau.....

Orang SeKaRang Dah TerbaliK..Kalau.....


ORang sekarang dah terbalik
Yang buruk di pandang baik,
Yang baik di pandang tak molek,

Yang baik kena diselidik,
Yang manfaat di pandang pelik,
Yang tak baik di jadikan didik

Ish…ish.ada ke patut ,
Pergi usrah kena herdik,
Buat maksiat tak pula diselidik,
Nak buat kebajikan , nak sebar kebaikan punyalah susah..
Maksiat disambut melata,
Bukan nak mengata..
Cuma…kalau tak betul orang tak kata..

Study group kena buat proposal,
Dating tak pula kena buat kertas kerja,
Perjumpaan melebihi 5 orang disekat,
Dating berdua diberikan tempat.

Ish..ish..ish..
Memang orang sekarang dah terbalik
Takut pada benda yang tak bertempat,
Berani pada perkara yang tak tepat,
Pembentukkan rohoni dan usrah di sekat
Bukankah islam itu hebat,
Kenapa pula disekat-sekat.

Ish…ish..
Memang orang sekarang pelik
Mengaku islam itu hebat ,
Tapi halal dan haram semua di rembat,
Benarkan diskusi agama disamping perkara lara,

Ish..ish..
Memang kita pun sama pelik,
Entah bila mata nak celik,
Sampai bila nak biarkan akal pendek,
Bila pula nak jadi mahasiswa terdidik.

Ish..ish..ish..
Sama-samalah jadi pelik,
Sama-samalah nanti terbalik,
Dunia ni pun dah nak terbalik,
Nyanyuk sama penghuninya,
Esok lusa terbaliklah ia dgn penghuninya yang juga dah terbalik.

Ish..ish…ish..
Agaknya ini ciri manusia akhir zaman,
Untuk teman seperjuanganku,
Pertahankanlah islam selagi terdaya,
Hayati dan amalkan ad-din yang sesuai,
Jadilah islam yang sebenar

Sebab islam tu hebat,
Islam itu tangga kecemerlangan
Dan kita sebagai penganut perlu hebat seiring dengan ajaran islam itu.

Jangan biar islam lapauk di telan zamaan
Jangan biar ia dicemari,
Sebabnya kita orang ISLAM

Cukuplah dulu bumi kita di jajah
Jangan biarkan pula fikiran kita di jajah,
Sebabnya hanya orang yang bodoh yang begitu,
Jatuh di tempat yang sama dua kali.


Ish..ish..ish…
Anakah yang pelik,
Dunia inikah atau penghuninya….

Friday, August 13, 2010

Seindah Dulu

Seindah Dulu



Aku suka perasaan ketika di sekolah. Hening, ketika petang menyinsing, akan terasa damainya ketika senja menyapa.

Nurul Aiman. Sedap namanya, apatah lagi akhlaknya. Gadis yang sering aku kagumi dan pandang tinggi. Bukan gadis, muslimah sebetulnya. Aku selalu memerhati sikap dan perwatakan yang ada pada dirinya, dari jauh sudut di hati. Sikapnya yang tenang, tapi tegas dan berhikmah terhadap lelaki.

Wajahnya ayu lembut bertudung labuh menyentuh, menyerlah iman di dada. Sopan, terlalu sopan. Malah, tenang. Melihatnya kadang membuatkan aku terasa suka. Dalam hati, aku selalu menyimpan seribu perasaan.

Di hujung waktu persekolahan, aku beranikan diri. Aku tinggalkan secebis pesanan. Memercikkan warna perasaan bersama segunung harapan.

Balasnya,

"Majdi, cinta itu ungkapan yang penuh hikmah. Alangkah ruginya jika ia hanya layu di janji lemah. InsyaAllah, janji Allah senantiasa untukmu. Berharaplah, berdoalah.

Yang solehah itu untuk yang soleh.

Bersabarlah, tahan atas semua yang berpura-pura. Atas semua yang sementara. Jika itu yang terbaik, maka Allah akan bantu. Sampai sini, tinggalkan semua yang tak perlu. Terus, terus kejar demi yang satu. InsyaAllah, sampai jumpa lagi ya."

Hingga satu saat, yang pasti akan sentiasa aku ingat. Waktu anugerah Allah diberi untuk dapat aku bertemu. Tanpa sengaja, tanpa diduga. Bersama temannya. Dia membicara perlahan.

"Majdi, insyaAllah. Nurul akan ke Amerika. Mengambil bidang ekonomi di sana. InsyaAllah, mengembangkan islam di sana. Doakanlah ya." Dia menutur perlahan.

"Kenapa Amerika? Kenapa tidak belajar sahaja di Timur Tengah? Atau berbakti mengkaji di bumi kita sendiri. Bukankah Amerika itu tempatnya, kata mereka seakan neraka? Kenapa perlu menyinggah di sana?" Aku tertanya, hairan menerpa. Ingin tahu, amat ingin tahu.

Dia tersenyum.

"Tak mengapa. Di sana, ilmunya banyak. Di sana ilmunya hebat. Biarlah. InsyaAllah. Iman, Nurul akan cuba menjaga sebaiknya."

Waktu itu yang memang akan aku ingat. Sampai bila-bila.

*****************

Petang itu damai. Sedamai bunga yang asyik melambai. Sehingga aku kadang-kadang lalai melihat. Sungguh, Allah Maha Hebat.

Aku baru selesai membaca al-mathurat bersama rakan sepejabatku, Rahman di surau office. Dialah rakan seusrahku, dan dialah sahabat baikku. Alhamdulillah, bersamanya aku mudah untuk terus istiqamah membaca al-mathurat setiap hari.

"Majdi, jom makan!" Rahman mengajak.

"Isk, kamu ni. Asyik makan saja.." Aku menyakat. Ketawa sambil membetulkan blazer hitamku yang sedikit terkeluar. Blazer itu aku gandingkan dengan kopiah hitamku yang selalu aku pakai, sengaja cuba menampilkan imej muslim profesional.

"Haha. Nak buat macamana? Kan perlukan tenaga juga nanti nak buat kerja." Katanya sambil ketawa kecil.

Aku ketawa. Sudah sampai di sini rupanya perjalanan hidupku. Dari bertatih, hingga kini, di alam pekerjaan yang menuntutku berusaha gigih. Tak mengapa, umurku masih terlalu muda, kata orang, masih segak bila dipandang mata. Jika tidak kata orang, aku yang berkata begitu.

Village Muslim Cafe menjadi pilihan. Kopinya di situ memang enak. Terlalu enak malahan aku selalu terbuai, didodoi haruman baunya.

Aku melamunkan fikiran, berfikir tentang pelbagai perkara. Masa dulu, dan masa akan datang. Malah tanggungjawab yang semakin menebal. Biarlah, aku bahagia dengan semua ni. Cuma, kadang-kadang aku teringatkan sesuatu. Seseorang.

"Majdi.."

Sebuah suara yang amat ku kenal.

Amat-amat ku kenal.

Aku berpaling.

Tersenyum. Berdiri seorang wanita. Ayu, lembut perwatakannya. Dengan baju yang seakan gaun putih yang kembang di bawahnya, serta lipatan kain yang membentuk bunga yang amat kemas hingga ke hujung lengan, dia benar-benar kelihatan anggun bersama pakaian begitu.

Pakaian yang seakan-akan buatan Inggeris. Di tangannya tersemat beg bimbit berbunga merah berjalur putih krim, dia memegangnya dengan tangan ke hadapan.

Rambut lurusnya lembut menutupi telinga dan sebahagian muka. Kadang-kadang ditarik sedikit ke telinga saat disapa dan dibelai angin. Ayu.

Dia tersenyum manis. Amat manis.

Aku mengamati.

Dan rasa terus menerpa, meresap menjadi sendu.

Seakan tak percaya.

"Nurul.. Nurul Aiman..?"

"Ya, saya..." Dia membalas lembut.

Nurul tersenyum. Senyumannya bergula. Sama macam senyuman dia waktu aku kenal dahulu, sewaktu dia di sekolah 8 tahun lepas. Tapi kali ni lain. Senyuman dia berteman, ditemani dengan mahkota lurus rambutnya yang dirapikan. Seakan watak Apple dalam cerita 'Le Gardenie' yang pernah aku baca.

Aku berdiri, bangun dan menghadapnya, meraikan seorang yang sudah amat lama aku tidak jumpa. Sudah 8 tahun. Yang amat aku rindu sebenarnya.

Masing-masing terdiam.

"Ermm.. Awak apa khabar?" Nurul membuka bicara. Membuka ruang mesra.

"Err.. Alhamdulillah, saya baik. Awak?"

"Baik, Sihat alhamdulillah. Lama tak jumpa kan? Saya baru sampai ke Malaysia semalam.."

"Erm.." Aku mengangguk, tersenyum leret sedikit.

Terdiam lagi. Masing-masing kembali melayan perasaan. Aku pun tak tahu apa perasaan aku sebenarnya saat ini. Aku gembira sangat bila dapat bertemu, tapi aku juga seperti mahu mengalirkan air mata. Aku seperti terbayang wajahnya yang dahulu, dan dia yang di depan aku sekarang.

Nurul melihat jamnya.

"Majdi, saya minta diri dulu ya. Ada yang perlu diuruskan.." Dia berkata perlahan sambil menunduk, mengambil secebis kertas dan pen.

Menarik kembali rambut yang jatuh tersusun ke telinga.

"Ambil ni. Kita jumpa ya?" Dia menghulurkan.

"Minta diri, assalamu'alaikum..." Nurul menghadiahkan senyuman harapan, dan berpaling pergi.

"Restoran Zahrah

0.900 pm "

Aku melihatnya pergi. Berjalan penuh sopan dan berhati-hati. Aku terasa seperti mahu menghalangi waktu dari terus berjalan.

"Majdi?" Rahman memanggil, mematikan lamunan.

"Siapa tadi?"

"Owh, tak ada siapalah. Kawan lama je.. Nanti aku cerita ya.." Aku membalas, kemudian menghirup nafas dalam-dalam. Amat dalam.

Nurul Aiman...

**********



Pen Parker berwarna silver itu dipusing-pusingkan di atas buku kerja hitamnya. Membentuk alur tulisan yang kadang dia sendiri tak faham. Entah apa yang dituliskan, Majdi pun tak tahu.

Dia sekarang berada di pantai Teluk Cempedak. Duduk melayan perasaan di atas kerusi kayu yang disediakan, di bawah pokok ru yang melindungi lembut. Menghadap laut yang berombak damai.

Majdi duduk termenung. Dia seakan ingin menangis, terlalu sebak dan sedih hatinya. Dia masih teringat Nurul yang satu ketika dahulu sopan manis dalam tudung labuhnya, langsung berubah kepada yang kini tetap anggun dan sopan, tapi dalam keadaan yang amat berbeza.

Dia masih tergamam, terkedu dengan apa yang berlaku hari ini. Hati nuraninya benar-benar sedih.

"Apakah yang menyebabkan dia berubah? Apakah pendirian dia yang dulu, aku amat kagum, sudah benar-benar bertukar..?" Fikirnya dalam hati.

Dia diam. Sengaja biarkan angin menderu, sekurang-kurangnya menghiburkan apa yang ada di jiwa.

"Kadang-kadang tak semua perkara yang kita suka, kita akan dapat Majdi.. " Rahman menyentuh bahunya perlahan, tersenyum.

Majdi mendongak.

"Rahman.." Majdi tersenyum. Rahman selalu begitu, hadir ketika sahabatnya berduka.

"Kerana itu kita tak boleh melepaskan ikatan kita bersama jemaah, bersama rakan-rakan, bersama ukhuwwah, bersama iman. Kadang-kadang, kita rasa diri kita kuat. Mampu untuk berdiri dengan sendiri. Tapi bila berseorangan, kita tak pernah mampu sebenarnya.."

Majdi tahu, Rahman merujuk kepada apa yang berlaku pada Nurul Aiman.

"Tapi, tak semestinya kita perlu berubah kan?" Majdi bertanya. Bertanya dalam hampa sebenarnya.

"Tak apa, bertanyalah, orang seperti mereka selalu rasa tak difahami. Dan kita selalunya tak mengetahui apa yang berlaku.. moga kita tak tak diuji seperti mereka.."

"Allah.. Tak pernah menguji hambaNya.. Melainkan mereka benar-benar mampu. Untuk kamu, dia, dan aku juga.." Perlahan Rahman mengulas lembut, memberikan satu keyakinan.

"Ya.." Majdi mengangguk faham, kemudian mengukir senyum perlahan. Dan malam ini, dia akan cuba sampaikan. Dari hatinya.

*********

Restoran Zahrah. Restoran tepi laut yang amat terkenal di Pahang. Bukan sahaja masakannya yang enak, malah susunan dan rekaan dalaman yang berjaya didekorasikan dengan amat baik sekali.

Meja-meja berwarna coklat keperangan di dalam restoran itu dihiaskan lagi dengan bekas kaca yang diletakkan di atasnya. Di dalam bekas kaca itu, terdapat coklat Forrero Rocher yang amat terkenal. Menambahkan lagi suasana dan rasa yang sedia ada.

Dan di hujung penjuru, kelihatan seorang wanita duduk menunggu. Dia mengenakan kemeja putih berlengan panjang berjenama Vincci, berlipat bunga di bahu dan leher. Dipadankan dengan skirt labuh hitam hingga ke bawah kaki. Wajahnya redup ditiup angin laut yang lalu dari tingkap yang sengaja dibuka.

Majdi masuk. Mencari-cari wajah yang dinantikannya. Nurul mengangkat tangannya yang gemalai, melambai perlahan.

"Silalah.." Nurul mempelawa mesra. Di sebelahnya di temani kakaknya. Juga berwajah hampir sepertinya, cuma kening lebih kecil dan dagu yang lebih runcing. Bertudung dan mengenakan kebaya berwarna krim cair.

Aku duduk, menghadap Nurul. Juga di sebelah tingkap yang terbuka. Di kejauhan, kelihatan bot-bot nelayan dan kapal-kapal yang berlabuh di perlabuhan.

"Erm, akak pergi ambil angin di luar kejap ya.." Kakaknya bangun, menunduk meminta diri dan berjalan keluar.

Masing-masing diam.

"Dah lama kita tak jumpa kan? Dah 8 tahun? Macamana kehidupan awak? Ok?.." Dia membuka perbualan sambil tersenyum.

"Alhamdulillah, beginilah.. Banyak benda yang dah berubah kan?"

Dia tertawa kecil.

" Everything is changed Majdi.."

"Tapi.."

"Tapi? "

"Tapi awak berubah terlalu banyak Nurul.."

"Erm.."

Nurul diam. Memalingkan wajah ke tingkap, melemparkan pandangan jauh ke laut. Amat jauh.

*********

"What are you doing with your frankly veil in this 'cold' class Nurul?"

Hahahaha!

Bederai satu kelas ketawa. Wajah Nurul menjadi merah menahan malu. Malu yang amat. Dan itulah dia di hari pertama kuliahnya di Universiti Califonia, Amerika Syarikat.

Begitu juga hari-hari berikutnya. Dia rasa semakin dipulaukan. Hanya kerana tudung yang dipakai. Pernah, dia cuba mencari teman meluahkan perasaan. Tapi apalah sangat yang dapat diluahkan jika semua kawan sepengajiannya dari Malaysia tidak ada yang bertudung.

"Ala, kau buka je lah. Mesti diorang senyap.."

"Erm, kau pun cantik. Kalau tak pakai tudung mesti lagi cantik.."

"Kita kat negara orang, bukan di Malaysia lagi.. Kena ikut cara orang lah.."

Dia menangis. Terasa berat keadaan yang menekan. Dengan kehidupan, dan perasaan yang tidak stabil. Pelajaran juga entah ke mana. Dia terngiang-ngiang kata-kata sahabatnya dulu.

"Kenapa Amerika? Kenapa tidak belajar sahaja di Timur Tengah? Atau berbakti mengkaji di bumi kita sendiri. Bukankah Amerika itu tempatnya, kata mereka seakan neraka? Kenapa perlu menyinggah di sana?"

Dia seakan-akan masih terdengar persoalan itu di benaknya.Pernah dia berhasrat untuk berpindah universiti. Tapi mengenangkan ibu bapanya yang bersusah payah semasa dia memohon ke sini, dia cuba menabahkan diri.

Sendiri. Terasing.

Hingga satu hari, pernah dia berjumpa dengan seorang pensyarah di situ. Dengan tujuan ingin membuat rundingan atas subjek yang amat kurang difahaminya.

Tanpa memandang wajahnya, lecturernya berkata. Kasar.

"As long as you still with your veil.. I don't wanna speak with u.."

Nurul terkedu. Tak sangka hingga tahap ini dia diperlakukan. Tak tahu apa yang dibenci sangat hingga jadi diskriminasi sebegini.

Dia jadi lemah. Dia seakan sudah hilang arah. Dia menangis semahu-mahunya. Dia benar-benar tertekan.

Amat-amat tertekan.

Dan esoknya..

Hadir seorang wanita, berambut lurus dan tersisir kemas. Memasuki kelas sambil melangkah malu..

***********

"Kembalilah kepada Nurul yang pernah saya kenal dahulu.."

Nurul berpaling, tersenyum lesu, memandang aku dalam-dalam, penuh makna.

"Ia tak semudah yang difikirkan Majdi.."

"Seandainya, saya dapat memutar masa kembali..."

Nurul mengeluh lesu.

"Awak masih ada masa, Nurul.." Aku tersenyum.

"Awak tahu Nurul. Wanita, ibarat coklat."

Majdi mengambil Ferrero Rocher di dalam bekas kaca di atas meja. Mengambil dua. Membuka satu. Plastik kuning keemasannya di buka sebaiknya.

"Coklat?"

"Ya, coklat. Coklat yang disimpan rapi. Terjaga. Yang senantiasa indah dan cantik dalam balutannya. Campaklah walau ia di manapun. Dan pasti, semua orang mengagumi dan menginginkannya..."

Majdi kemudiannya menjatuhkan keduanya ke lantai.

"Semakin ia berbalut, semakin ia terjaga. Dan seandainya diberi pilihan antara coklat yang sedia berbalut dengan coklat yang terbuka dan terjatuh. Pasti orang akan memilih.."

"Pasti orang memilih yang berbalut kan? Kerana yang terbuka itu sudah dicemari, sudah kotor, sudah tak berharga. Kan?" Nurul menjawab. Terus menunduk.

Riak wajahnya bertukar mendung.

"Dan saya adalah coklat yang kotor itu.." Wajahnya hampir menangis.

Aku tersenyum.

"Ya, mungkin orang akan pilih yang berbalut."

Aku kemudiannya mengambil coklat yang jatuh lalu kuletakkan di atas meja.

Aku tersenyum lagi.

"Tapi saya lain. Saya akan mengambil coklat yang lagi satu. Saya akan ambil dan saya akan basuh balik sebersih-bersihnya. Saya akan balut semula sekemas dan secantiknya. Dan selagi masih hidup, selagi punya masa. Saya akan menjaganya sebaik-baiknya sampai bila-bila.."

Nurul mengangkat kepala. Seakan tidak percaya.

Dan air mata pun mengalir..